Friday, January 27, 2012

NAFKAH

Assalamualaikum...
Saja nak berkongsi….. in life sometimes kurangnya ilmu menyebabkan kita lalai dalam tanggungjawab. I remember I learned this when I was doing part time Syariah UIA. It is one of the subject dalam perundagan kekeluargaan islam… so guys… read and learn…. Insya’allah…

HAK-HAK YANG WAJIB DIBERIKAN KEPADA ISTERI
1- HAK MENDAPAT MAHAR
Mahar adalah suatu pemberian wajib dari suami kepada isterinya dengan sebab berkahwin. Ia merupakan hak mutlak isteri. Banyak sedikitnya mahar itu bergantung kepada kerelaan atau kemahuan isteri. Firman Allah:
Ertinya: “berikanlah maskahwin (mahar) kepada wanita yang kamu kahwini sebagai pemberian penuh kerelaan, kemudian jika mereka menyerahkan kepadamu sebahagian dari maskahwin itu dengan senang hati, maka makanlah (ambillah) pemberian itu sebagai makanan yang sedap lagi baik akibatnya” (an-Nisa’:4)

Di dalam hadith Nabi s.a.w ini ada menerangkan beberapa benda yang boleh dijadikan mahar, antaranya:
i- mata wang,
ii- barang seperti cincin, kasut, pakaian dan sebagainya,
iii- Pekerjaan seperti menghafal al-Quran,
iv- Makanan atau bahan
v- Dengan memerdekakannya

Mahar merupakan hak mutlak isteri yang tidak boleh diambil oleh suami sesuka hati melainkan dengan keredhaan dan keizinan isterinya. Seorang suami boleh berhutang mahar kepada isterinya dengan syarat ianya wajib dilunaskan kembali. Suami yang tidak mahu membayar mahar yang dihutang kepada isterinya diancam Allah dengan ancaman yang sama dengan orang-orang yang berhutang dengan niat tidak mahu melunasinya padahal mereka mampu untuk membayarnya kembali.

Keadaan ini jelas merupakan penderhakaan terang-terangan terhadap hak isteri, sekaligus menderhakai Allah. Biasanya suami menganggap bahawa mahar itu tidak perlu lagi diberikan kepada isterinya kerana sudah menjadi satu keluarga hingga menurut anggapannya tidak ada lagi perhitungan hutang piutang bagi mereka yang telah mempunyai ikatan sebagi suami isteri.

Dalam situasi ini isteri boleh menasihati dan mengingatkan suami akan hutang maharnya serta ancaman Allah bagi perbuatannya, jika tidak diendahkan, isteri boleh meminta pertolongan dari pihak ke tiga untuk menasihatinya, jika tidak berhasil isteri boleh mengadu kepada mahkamah untuk memaksa suami melunasi hutang maharnya. Namun begitu memaafkan dan mengambil sikap berlapang dada adalah lebih dekat kepada taqwa.
Firman Allah:
Ertinya: “jika kamu menceraikan isteri-isterimu sebelum kamu bercampur dengan mereka padahal kamu telah menentukan maharnya, maka bayarlah separuh dari mahar yang telah kamu tentukan itu, kecuali kalau isteri-isterimu itu memaafkan atau dimaafkan oleh orang yang memegang ikatan nikah. Sikap maaf itu lebih adalah lebih dekat pada taqwa. Dan janganlah melupakan keutamaan antara sesama kamu. Sesungguhnya Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan” (al-Baqarah:237)


2- NAFKAH – ZAHIR DAN BATIN
Nafkah menurut istilah ialah mengeluarkan belanja atau sara hidup kepada mereka yang wajib atas seseorang itu untuk membiayainya. Biaya yang dimaksudkan ialah semua hajat dan keperluan pelajaran, makanan, ibadat, tempat tinggal dan sebagainya.(al-Syarbini.425). Hak nafkah yang wajib diberikan kepada isteri boleh dibahagikan kepada dua jenis, nafkah zahir dan nafkah batin.

NAFKAH ZAHIR
Sudah menjadi ketetapan agama bahawa suami wajib memberikan belanja untuk makan, minum, pakaian dan tempat tinggal isteri sesuai dengan kemampuannya. Firman Allah s.w.t:
Ertinya:” hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya. Dan orang yang disempitkan rezkinya hendaklah memberi nafkah dari harta yang diberikan Allah kepadanya. Allah tidak memikulkan beban kepada seseorang melainkan sekadar apa yang Allah berikan kepadanya”.(al-Talaq:7)

Ertinya: “dan kewajipan ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara yang makruf. Seseorang tidak dibebani melainkan menurut kadar kesanggupannya”. (al-baqarah:233)

Ertinya: “tempatkanlah mereka (para isteri) di mana kamu bertempat tinggal menurut kemampuanmu dan janganlah kamu menyusahkan mereka dan menyempitkan hati mereka. Dan jika mereka (isteri-isteri yang sudah ditalaq) itu sedang hamil maka berikanlah kepada mereka nafkahnya hingga mereka bersalin” (al-talaq:6)
Sementara dalil-dalil dari sunnah pula:

Ertinya: dari Muawiyah al-Qusyairi, berkata: “saya datang kepada Rasulullah s.a.w lalu saya bertanya, bagaimana pandanganmu Ya Rasulullah tentang isteri-isteri kami? Sabdanya: “berilah mereka makan dari makanan yang kamu makan, berilah mereka pakaian dari pakaian yang kamu pakai, janganlah kamu pukul mereka dan jangan pula kamu buruk-burukkan mereka (H.R Abu Dawud)

Ayat-ayat dan hadith di atas menjelaskan bahawa setiap suami bertanggungjawab memberi makanan, pakaian kepada isterinya sesuai dengan kemampuannya. Suami tidak boleh memberi makanan dan pakaian kepada isterinya lebih buruk daripada apa yang dimakan dan dipakai suaminya. Begitu juga kadar makan dan pakai yang menjadi hak isteri diberikan mengikut kadar yang mampu diberikan oleh suaminya. Di dalam hal ini isteri tidak boleh meminta sesuatu yang di luar kemampuan suaminya. Akan tetapi sekiranya suami mampu memberikannya lebih tetapi tidak diberikan maka dalam situasi ini isteri dibenarkan mengambil harta suaminya seperti sabda Rasulullah s.a.w:
Ertinya: “dari aisyah r.a berkata: sesungguhnya Hindun datang kepada rasulullah lalu berkata: “wahai Rasulullah< Abu Sufyan adalah orang yang kikir dan tidak mahu memberikan kepadaku belanja yang cukup untukku dan anakku, sehingga terpaksa aku ambil dari hartanya tanpa pengetahuannya”. Lalu Baginda bersabda: “ambillah sekadar cukup untuk dirimu dan anakmu dengan wajar”. (H.R Bukhary dan Muslim)

Hadith ini menegaskan bahawa islam membenarkan bagi isteri mengambil harta suaminya sekadar untuk keperluan dirinya dan anak-anak, jika suaminya mempunyai harta yang cukup tetapi tidak memberikan haknya mengikut kemampuannya. Jika suami yang bakhil di cela oleh agama dan dibenarkan bagi isterinya mengambil tambahan dari harta suaminya tanpa pengetahuannya, maka lebih berdosalah lagi suami yang tidak memberi nafkah isterinya. Sudah tentu perbuatan itu tela melanggari hak isteri yang telah ditetapkan oleh syariat islam.

Isteri boleh memberi peringatan terhadap suami yang mengabaikan tanggungjawab memberi nafkah samada mahu memberi belanja atau menceraikannya. Menurut Imam Syafie kadar nafkah makanan yang wajib itu adalah mengikut keadaan suami. Maka jika suami itu orang kaya, nafkah isteri yang diwajibkan ialah dua cupak makanan setiap hari, suami yang miskin satu cupak dan suami yang sederhana satu cupak setengah.(Wahbah Zuhayliy.1985.798)

Menurut Imam an-Nawawi bahawa hak-hak yang wajib terhadap isteri itu tujuh perkara iaitu;

i. Makanan.
ii. Bahan-bahan seperti rempah-ratus (bawang, minyak masak, garam, gula, asam termasuk lauk-pauk dan sebagainya).
iii. Pembantu bagi isteri yang kebiasaannya mempunyai pembantu.
iv. Pakaian.
v. Alat-alat pembersih badan dan pencuci pakaian, sikat dan sebagainya.
vi. Perkakas-perkakas rumah seperti perkakas bilik air, perkakas tidor dan sebagainya dan yang terakhir ialah tempat tinggal (rumah). (an-Nawawi.450-461)
NAFKAH BATIN

Hendaklah mempergauli isteri itu dengan baik. Firman Allah:
Ertinya: isteri-isterimu adalah seperti tanah tempat kamu bercucuk tanam, maka datangilah tanah tempat becucuk tanammu bagaimana saja kamu kehendaki. Dan kerjakanlah amal yang baik untuk dirimu dan bertaqwalah kepada Allah dan ketahuilah bahawa kamu kelak akan menemui-Nya. Dan berilah khabar gembira orang-orang beriman. (al-Baqarah:223)

Ertinya: ...”dan bergaullah dengan mereka dengan sebaik-baiknya....”

Dalam Islam isteri boleh menolak hajat atau keinginan suaminya untuk bersetubuh dengan syarat ia mestilah dalam keadaan darurat atau keuzuran seperti semasa haid, nifas, sedang dalam ihram dan sebagainya. Bagaimanapun pengertian mengenai darurat dan keuzuran bukan setakat itu, banyak lagi perkara lain yang perlu difahami setiap suami. Misalnya jika isteri mengalami masalah kesihatan yang menyebabkan isteri tidak berupaya melayan kehendak seks suami, ia juga ditakrifkan sebagai darurat.

Begitu juga jika isteri berada dalam keletihan yang amat sangat, penolakan berkenaan dirujuk kepada isteri yang dalam tertekan, runsing, mengantuk yang teramat sangat dan keletihan yang amat sangat sehingga meyebabkan isteri berkenaan tidak berkeupayaan melayani kehendak seks suaminya dengan baik, ia juga dibolehkan. Lebih-lebih lagi bagi isteri yang bekerja, tujuannya untuk membantu suaminya sendiri dalam soal kewangan.

Akan tetapi isteri perlu faham, jika mereka menolak hajat suaminya, ia mestilah ditolak dengan cara yang baik dan mestilah dijelaskan dengan sejelas dan sebaiknya sebab-sebab itu kepada suaminya, sehingga suaminya boleh memahami dan bertolak ansur dengannya.

Terdapat juga sesetengah suami yang sanggup menggunakan kekerasan atau paksaan ke atas isterinya untuk melakukan hubungan jenis demi memuaskan nafsunya sendiri dengan menafikan terus hak isteri , walaupun isteri berada dalam keadaan tidak bersedia dan sudah pun menolak hajatnya dengan baik. Dalam keadaan seperti ini, jika suami tidak memahaminya, isteri boleh membawanya ke mahkamah dan mahkamah pasti akan memberikan pertimbangan yang sewajarnya.
Namun begitu pangertian nafkah batin bukanlah berkisar perlakuan seksual semata-mata. Seks hanya salah satu cabang bagi maksud nafkah batin, selain seks berkongsi masalah, mendengar luahan isteri, berbual dan bermesra serta mendidik ajaran agama terhadap isteri juga termasuk dalam definisi nafkah batin.

Wallahualam……
Rujukan : Robiatul Adawiyah Mohd Kolej Universiti Islam Malaysia