Tuesday, January 17, 2012

DOA - HANYA ALLAH YANG MENGETAHUI

Assalamualaikum.

Tersebut kisah seorang abang dan seorang adik. Kedua-duanya adalah anak yatim lagi miskin. Mereka tinggal di rumah pusaka tinggalan ibu bapa mereka. Kedua ibu bapa mereka adalah hamba ALLAH yang soleh. Kedua-dua anak dididik dengan penuh agama Allah swt .

Si abang, saban hari berdoa agar ALLAH mengubah nasib hidupnya. Dia meminta kepada ALLAH agar dipertemukan dengan isteri yang cantik lagi kaya. Dia meminta kepada ALLAH agar dirinya kaya raya.

Si Adik pula, seorang yang agak kurang cergas dan buta huruf. Tidak seperti abangnya, dia membaca dan mengeja doa pun dengan melihat kertas. Sebelum bapanya mati, dia pernah meminta bapanya menulis sesuatu di atas kertas, dan kertas itu sering dipegangnya setiap kali berdoa.

Akhirnya, Allah mempertemukan si Abang dengan seorang perempuan yang cantik lagi kaya. Perempuan itu jatuh hati kepadanya, lantas berkahwin. Si Abang seperti mendapat durian runtuh dan kehidupannya terus berubah. Dia keluar dari rumah pusaka, dan meninggalkan adiknya.

Si Abang akhirnya kaya raya, malah terus kaya apabila dia memasuki medan perniagaan. Dia sudah mula alpa dengan ALLAH, melewat-lewatkan solah, jarang membaca Al-Quran, tapi tidak pernah lalai untuk meminta kekayaan daripada ALLAH. Kalau masuk dalam bab perniagaan, kekayaan dunia, maka berbondong-bondong doanya kepada ALLAH. Dan ajaibnya, Allah beri apa yang dia minta. Si abang rasa dia istimewa.

Si adik pula, hidupnya tidak berubah. Dia masih seorang sederhana, dengan kelemahannya sebagai seorang buta huruf, dia hannya mendapat kerjaya yang sederhana, terus menjaga rumah pusaka. Si adik, juga rajin berdoa.

Si abang tahu, si adik rajin berdoa. Tapi Si Abang melihat, hidup adiknya tidak berubah-ubah. Lantas satu hari, ketika Si Abang menziarahi adiknya, Si Abang berkata dengan sombong:
“Kau kena berdoa kuat lagi. Tengok aku, berdoa je ALLAH makbulkan. Kau ni tak cukup hampir dengan Allah ni. Berdoa pun masih tengok-tengok kertas. Tak cukup hebat.”

Si Adik tersenyum sahaja. Suka abangnya menegur kerana padanya, teguran abang amat bermakna.

Si Adik terus hidup sederhana, di dalam rumah pusaka, dengan berdoa hanya melihat kertas saban hari, dan kehidupannya tetap tidak berubah. Tidak menjadi kaya seperti Si abang.

Satu hari, Si Adik meninggal dunia. Ketika Si Abang mengemas-kemas rumah pusaka, dia berjumpa satu kertas. Kertas itu adalah kertas yang adiknya sering pegang ketika berdoa.

Si Abang menangis teresak-esak apabila membaca kertas kecil itu.

Kertas itu tertulis: “ Ya Allah, makbulkan lah segala doa-doa abang aku”

Kadang-kadang kita, bila Allah realisasikan hajat kita, kita suka mengimbau usaha-usaha kita. Sedangkan, kita tak tahu, mungkin yang makbul itu adalah doa ibu bapa kita, doa adik beradik kita, doa sahabat-sahabat kita. Bukannya doa kita.

Maka berdoalah kita setiap kali berdoa tanpa lupa mendoakan ibu bapa, guru-guru, keluarga, adik beradik, sahabat-sahabat, dan mereka yang teramat akrab. Sebutkan namanya agar lebih merasai bahawa kita memerlukan mereka mendoakan kita juga. Kita ini banyak dosa. Banyak hijab.

Mungkin doa orang lain yang lebih bersih hatinya, lebih suci jiwanya yang makbul, menyebabkan rahmat Allah tumpah pada diri kita. Oleh yang demikian, janganlah kita berbanga diri, jangan rasa doa kitalah yang makbul. Pulangkan semuanya kepada Allah. Doa itu sebahagian daripada usaha sahaja sebenarnya. Dan jangan rasa segan nak minta orang lain doakan kita.


Insya’allah……